“Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri. Inilah saya, anda pula siapa?” (As Syahid Hassan Al Bana).
1) Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran.
Beginilah hakikat kehidupan kita sebagai manusia. Umpama berjalan di atas satu jambatan yang bersimpang siur, di bawahnya jurang yang dalam dan gelap. Jika tersalah langkah atau tersilap perkiraan, kita akan jatuh ke dalam jurang atau tersesat ke simpang yang salah. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan yang benar. Gunakan GPS anda! Iaitu sumber yang benar. Apakah GPS saya? Jawapannya Al Quran dan As Sunnah. Selagi kita masih berada dalam perjalanan dan belum sampai ke destinasi dan tujuan kita, maka jangan sesekali tinggalkan GPS anda! silap perkiraan salah arah anda nanti.
2) Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan.
Kemanusiaan? Apakah itu kemanusiaan? Kemanusiaan ini umpama sehelai kain yang cukup indah dan mahal harganya. Hanya berasal dari sehelai kain yang putih dan tiada nilai seni dan estetika, kemanusiaan itu mencorak dan merubah nilai sesuatu itu dari kosong ke nilai yang amat tinggi dan berharga. Siapalah manusia ini, berasal dari setitis air mani kemudian dibentuk dan ditiupkan roh ke dalamnya. Nilai kemanusiaan itu mengangkat darjat manusia itu ke satu tahap yang amat tinggi di sisi Tuhan. Bagaimana mahu menghasilkan corak yang terbaik dan bermutu tinngi? Carilah resepinya di dalam dua sumber yang agung, Al Quran dan As Sunnah.
3) Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.
Semangkuk hidangan yang berkhasiat, bermanfaat dan mengenyangkan adalah hasil dari kejituan resepi si pembuatnya. Sudah tentu dari bahan-bahan dan rempah ratus yang halal, berkualiti, suci dan bersih. Malahan yang amat bernilai dan mahal harganya. Begitu juga sebuah negara yang berkat dan makmur, sudah tentulah hasil daripada nilai integriti kepimpinan yang berkualiti tinggi dan kejituan perlembagaan/undang-undang yang memenuhi segenap aspek kehidupan rakyat yang pelbagai agama dan bangsa. Siapakah kita? Kita adalah manusia, penduduk di atas muka bumi Allah ini. Maka kita adalah ciptaan kepada Sang Pencipta yang mengetahui segala keperluan dan spesifikasi ciptaan Nya. Dari mana kita perlu ambil tatacara atau 'guideline' untuk hidup sebagai makhluk? Sudah tentu dari Al Quran dan AsSunnah. Segala 'guideline', perlembagaan, undang-undang dan rempah ratus ada di dalamnya.
4) Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.
Di sinilah nilai cinta dan kasih sayang itu. Hakikat hidup kita sebagai manusia, nilai kemanusiaan itu dan rahsia hidup ini. Inilah seronoknya hidup berlandaskan syariat. Segala-galanya terjaga dan mengikut tertib. Semuanya ada bimbingan dan rujukan dalam setiap aspek kehidupan kita. Sejak dari zaman Nabi hinggalah zaman ulama kontemporari kini segalanya telah lengkap dan sempurna. Pokok pangkalnya terpulang pada kita untuk melaksanakan segala titah perintah Allah dengan hati yang tulus ikhlas. Dan sudah tentu jalan menuju Tuhan adalah jalan yang benar, hidup dan mati hanyalah keranaNya.
Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.
Inilah saya, anda pula siapa?






0 comments:
Post a Comment