Keluasan ihsan, taqwa

Daripada Abu Ya'la Syaddaad Bin Aus r.a,
daripada Rasulullah SAW baginda bersabda:
"Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh, laksanakanlah dengan cara yang baik, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya serta hendaklah dia merehatkan sembelihannya".

Daripada Abu Dzar Jundub bin Junaadah dan Abdur Rahman Muaz Bin Jabal r.a,
daripada Rasulullah SAW bersabda:
"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susuliah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik".

Cinta Tuhan

Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 208:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa kamu dan janganlah kamu menurut jejak syaitan-syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata.”


Pertama sekali ape yang hendak dinyatakan di sini ialah seruan untuk orang-orang yang beriman masuk ke dalam daerah ketenangan. Apa maksud ketenangan itu? ketenangan itu ialah kerahmatan, keberkatan, kecintaan, naungan dan kasih sayang dari Kekasih kepada kekasih. Siapa? Cinta Allah kepada makhlukNya! Siapa yang layak memiliki ketenangan dan memasuki daerah kecintaan yang agung ini? Sudah tentu yang menyahut seruan yang kedua dalam ayat ini iaitu yang menjauhi jejak-jejak dan langkah musuh yang nyata, iaitu syaitan laknatullah.

Mengikut jejak syaitan adalah langkah yang silap dari tujuan kehidupan ini, yakni dengan sengaja menyampakkan diri ke dalam lembah kegusaran, kehinaan dan kesengsaraan. Apalah nilai sedikit keseronokan dengan mengikot syaitan dan nafsu sedangkan kehancuran dan sengsara yang menunggu di depan? Sesungguhnya maksiat dan kejahatan adalah suatu yang perasaan kita tidak redha, tidak tenang dan menimbulkan kegusaran terhadapnya.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama mencari jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan ni'mat ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang Allah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat. Jangan kite asyik nak berseronok dengan dunia je, sedangkan hati kite sakit, tiada ketenangan dan rasa cinta kepada Tuhan.

Cinta Tuhan itu agung, maka agungkan cinta itu dulu... cinta pada dunia, bermakna menurut bisikan cinta syaitan, jadikan dunia ini di dalam genggaman tangan kita, bukan dunia itu menggenggam hati kita.

Ayuh muhasabah!

Wahai saudara-saudaraku,

Apakah yang menghancurkan diriku hari ini?

Hatiku menjawab, sikap kefanatikanku, politik dan gila kuasa dan bersikap jumud menjadi hidanganku, suka bertelagah pada perkara yang sia-sia menjadi santapanku, berbahas pada perkara yang tidak penting menjadi hobiku. Tenggelam dalam pelbagai kemewahan dan kenikmatan seleraku, suka berhiburan dan keseronokan agenda harianku. Terpedaya dengan tipu muslihat musuh yang manis di bibir. Aku merasa kagum dengan cara hidup dan kemewahan hidup kuffar musuh. Lalu aku dengan terburu-buru meniru mereka tanpa mengira baik buruk sehingga akidahku tergadai".

Hatiku mengongoi cembeng bibirnya, lalu berkata hati:

"Lihatlah dirimu, adakah ini yang kau nak bawa ketika menemui Tuhanmu? Apa jasamu pada orang tuamu? Apa yang kau curahkan untuk agamamu? Di mana belasmu terhadap saudara seagamamu?" lidahku ku kelu, otak ligat memikirkan alasan apa yang perlu ku beri dalam menjawab persoalan ini... Dalam ligat memikir, kakiku, mulutku, mataku, telingaku, tanganku seraya menjawab, "tiada apa yang si celaka ini bawa untuk menghadap Tuhan! Hanya segunung beban dosa serta amanah yang diabaikan!"

Peluhku terus merintik, masa semakin hampir, berkata hati,

"Di sisi mu umat sedang bergolak, segalanya berantakan, yang dulunya teguh kini menanti rebah, kepimpinan yang zalim, maksiat berleluasa tetapi engkau tak ambil peduli, jadi jangan engkau kesali jika Tuhan tidak memperdulikan dirimu ketika kekasih-kekasih Nya sedang melangkah ke syurga, engkau hanya mampu menelan liur!"
Sedikit nota untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat :)

Inilah saya, anda pula siapa?

“Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri. Inilah saya, anda pula siapa?” (As Syahid Hassan Al Bana).

1) Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran.

Beginilah hakikat kehidupan kita sebagai manusia. Umpama berjalan di atas satu jambatan yang bersimpang siur, di bawahnya jurang yang dalam dan gelap. Jika tersalah langkah atau tersilap perkiraan, kita akan jatuh ke dalam jurang atau tersesat ke simpang yang salah. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan yang benar. Gunakan GPS anda! Iaitu sumber yang benar. Apakah GPS saya? Jawapannya Al Quran dan As Sunnah. Selagi kita masih berada dalam perjalanan dan belum sampai ke destinasi dan tujuan kita, maka jangan sesekali tinggalkan GPS anda! silap perkiraan salah arah anda nanti.

2) Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan.
Kemanusiaan? Apakah itu kemanusiaan? Kemanusiaan ini umpama sehelai kain yang cukup indah dan mahal harganya. Hanya berasal dari sehelai kain yang putih dan tiada nilai seni dan estetika, kemanusiaan itu mencorak dan merubah nilai sesuatu itu dari kosong ke nilai yang amat tinggi dan berharga. Siapalah manusia ini, berasal dari setitis air mani kemudian dibentuk dan ditiupkan roh ke dalamnya. Nilai kemanusiaan itu mengangkat darjat manusia itu ke satu tahap yang amat tinggi di sisi Tuhan. Bagaimana mahu menghasilkan corak yang terbaik dan bermutu tinngi? Carilah resepinya di dalam dua sumber yang agung, Al Quran dan As Sunnah.

3) Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Semangkuk hidangan yang berkhasiat, bermanfaat dan mengenyangkan adalah hasil dari kejituan resepi si pembuatnya. Sudah tentu dari bahan-bahan dan rempah ratus yang halal, berkualiti, suci dan bersih. Malahan yang amat bernilai dan mahal harganya. Begitu juga sebuah negara yang berkat dan makmur, sudah tentulah hasil daripada nilai integriti kepimpinan yang berkualiti tinggi dan kejituan perlembagaan/undang-undang yang memenuhi segenap aspek kehidupan rakyat yang pelbagai agama dan bangsa. Siapakah kita? Kita adalah manusia, penduduk di atas muka bumi Allah ini. Maka kita adalah ciptaan kepada Sang Pencipta yang mengetahui segala keperluan dan spesifikasi ciptaan Nya. Dari mana kita perlu ambil tatacara atau 'guideline' untuk hidup sebagai makhluk? Sudah tentu dari Al Quran dan AsSunnah. Segala 'guideline', perlembagaan, undang-undang dan rempah ratus ada di dalamnya.

4) Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.

Di sinilah nilai cinta dan kasih sayang itu. Hakikat hidup kita sebagai manusia, nilai kemanusiaan itu dan rahsia hidup ini. Inilah seronoknya hidup berlandaskan syariat. Segala-galanya terjaga dan mengikut tertib. Semuanya ada bimbingan dan rujukan dalam setiap aspek kehidupan kita. Sejak dari zaman Nabi hinggalah zaman ulama kontemporari kini segalanya telah lengkap dan sempurna. Pokok pangkalnya terpulang pada kita untuk melaksanakan segala titah perintah Allah dengan hati yang tulus ikhlas. Dan sudah tentu jalan menuju Tuhan adalah jalan yang benar, hidup dan mati hanyalah keranaNya.

Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.

Inilah saya, anda pula siapa?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More